Monday, May 30, 2011

MENTERJEMAH KELEMAHAN PENCAPAIAN USAHAWAN BUMIPUTRA

petikan ini diambil daripada The Rights

MENTERJEMAH KELEMAHAN PENCAPAIAN USAHAWAN BUMIPUTRA

Oleh: Dato’ Abdul Rashid Bin Mat Amin

Bsc (Bogor-Forestry), MSC (OXON-Land-Use Planning), MBA (GSM, UPM-Marketing)

Oktober, 2010



1. Pendahuluan



Islam menawarkan peta jalan terbaik untuk hidup yang lengkap dan sempurna (ad-Deen). Islam menyediakan peraturan dan garis panduan untuk manusia bagi memastikan kemaslahatan manusia dapat di pelihara dan segala unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dihalang. Sumber utama hukum-hukum Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah. Sabda Rasullulah S.A.W: "Aku tinggalkan dua perkara; sekiranya kamu pegang kedua-duanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya”.

Kita ketahui melalui sejarah bahawa Islamlah yang telah mengubah nasib umatnya yang mundur pada peringkat awal sehingga menjadi satu masyarakat yang sungguh tinggi tamadunnya. Masyarakat Islamlah yang telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang terutama dalam memperluas dan mendalami pelbagai ilmu termasuk sains, matematik, falak, perubatan, kejuruteraan, falsafah, pentadbiran, sains politik, ketenteraan, pembangunan ekonomi dan sebagainya. Masyarakat Islam jugalah yang telah berjaya menjelajah lautan dan muka bumi bukan setakat memperluaskan jajahan takluknya sahaja tetapi yang lebih penting turut menyibarkan ajaran Islam serta ilmu pengetahuan ke mana sahaja mereka sampai.

Islam menggalakkan umatnya berkecimpung dalam bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan, perindustrian, dan lain-lain. Terdapat beberapa hadith Rasulullah S.A.W yang mendorongkan kita untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan sepertimana berikut:

"Didorongkan kepada kamu untuk berniaga kerana dalam perniagaan itu terdapat sembilan daripada sepuluh pintu rezeqi" (Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ul ulumuddin, Jld. 2).



"Saudagar yang benar dan amanah akan dikumpulkan pada hari qiamat bersama para orang-orang yang benar, para syuhada' dan para nabi" (At-Tirmizi).



Islam menganjurkan supaya segala kegiatan urus niaga dan jualbeli bukan hanya sekadar untuk memburu dan mengaut keuntungan komersial semata-mata. Tetapi lebih menitik-beratkan kepada kebajikan dan kepentingan para pengguna. Malahan Islam mengkategorikan urus niaga dan jual beli sebagai fardu Kifayah iaitu tanggungjawab bersama masyarakat Islam.



Didalam al-Quran terdapat banyak ayat yang dapat dikaitkan dengan perniagaan dan keusahawanan serta perlakuan-perlakuan dan etika kerja yang dituntut oleh agama. Prinsip yang perlu dihayati dalam dunia perniagaan Islam adalah berasaskan kepada apa yang diajar oleh Allah S.W.T. Contoh ayat yang terdapat dalam al-Quran yang menyentuh tentang selok belok urusan perniagaan:



“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah ayat 275).



Di dalam kebanyakkan kitab-kitab feqah terdapat penulisan tentang al Buyu' iaitu urusan jualbeli yang menghuraikan secara lengkap tentang sistem urus niaga dan jualbeli. Ibnu Hajar al-'Asqolani di dalam Kitabnya “Bulughu al-Maram” telah mengumpul sebanyak 175 hadith yang khusus memperkatakan tentang perniagaan dan perdagangan serta cara-cara pengendaliannya secara terperinci dan lengkap.



Kejayaan, kecemerlangan dan kehebatan umat Islam dalam perdagangan telah memberi sumbangan yang amat penting kepada keutuhan empayar Islam. Kejatuhan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan perubahan dalam arus perdagangan antarabangsa. Apabila Vasco da Gama belayar mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika Selatan pada November 1497, beliau membuka satu lembaran baru dalam sejarah dunia. Lembaran baru ini menyaksikan betapa perdagangan tidak lagi perlu menggunakan jalan-jalan darat yang merentasi Timur Tengah. Sebaliknya para pedagang antarabangsa mula menggunakan kapal laut. Akibatnya, masyarakat Arab Timur Tengah yang telah dicerobohi oleh golongan Mongol sekitar dua ratus tahun sebelum itu berhadapan dengan situasi enonomi yang langsung tidak berkembang. Empayar Uthmaniyah pula hanya mampu bertahan buat beberapa abad sahaja sebelum turut sama berhadapan dengan situasi ekonomi yang muram. Kehilangan pengaruh dalam perdangangan antarabangsa mengakibatkan umat Islam hilang budaya kosmopolitan. Keadaan menjadi lebih parah dengan kebangkitan fahaman fanatik agama dan hilangnya keterbukaan apabila berhadapan dengan pandangan yang berbeza. Akhirnya, karya-karya yang dihasilkan oleh umat Islam pada waktu itu mula memperkenalkan fahaman asetikisme melampau yang menolak usaha mencari harta, walaupun jika kita lihat sejarah umat Islam, ulama’- ulama’ terdahulu amat meraikan perdagangan dan mereka menganggap harta sebagai anugerah Allah.

Di antara tujuan perniagaan dalam Islam adalah untuk memenuhi tuntutan agama. Ini sesuai dengan tujuan syari'at diturunkan. Syari'at Islam diturunkan untuk memenuhi tahap “dharuriyyah” (keperluan asas) manusia yang didefinasikan sebagai pemeliharaan lima perkara asas untuk kehidupan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam Islam falsafah perniagaan ialah untuk membangunkan spiritual, mental dan jasmani manusia supaya manusia dapat melaksanakan tugasnya sebagai Khalifatullah fi Al-ardh' dengan sebaik mungkin. Dalam Islam apa sahaja yang kita lakukan untuk mencari harta adalah dilihat sebagai alat untuk mencapai matlamat yang unggul iaitu untuk mentaati Allah S.W.T dalam semua aspek kehidupan kita. Etika perniagaan dalam Islam adalah diperolehi daripada dua sumber utama hukum iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Selain daripada itu ia juga dibincangkan oleh ulama'-ulama' dalam satu cabang daripada ilmu fiqh iaitu fiqh al-mu'amalat.

Di alam Melayu perkembangan dunia Melayu dan perniagaan Islam merupakan dua perkara yang tidak dapat di pisahkan. Sejarah bangsa Melayu telah mempamirkan satu hubungan yang begitu jelas antara keduanya. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kejayaan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan bermula dengan keberkesanan perlaksanaan sistem ekonomi Islam dalam bentuknya yang tersendiri pada awal abad 15 dengan tersebarnya agama Islam dan terbinanya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang dapat di kaji dalam dokumen-dokumen sejarah seperti Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Pahang, Suma Oriental of Tome Pires, The Book of Duarte Barbosa, Rihlah Ibn Batuta, Undang-Undang Laut Melaka dan sebagainya. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah corak kehidupan masyarakat di Tanah Melayu dari menganut agama Hindu-Budha dan animisme kepada ilmu wahyu yang mentauhidkan Allah Yang Esa. Ini seterusnya mengubah dan menentukan pola perkembangan akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi dan kebudayaan masyarakat Malaysia masa kini.

Pengaruh dakwah asal yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab, Cina dan India itu sangat mendalam kesannya sehingga Sultan Melayu yang memerintah Melaka pada masa itu telah dengan rela hati memeluk Islam dan diikuti seterusnya oleh rakyat jelata. Peristiwa Sultan Melaka memeluk agama Islam dan usaha-usaha yang di ambil untuk menyebarkan ajaran Islam telah membentuk sebuah negara Islam yang maju dan dinamik sehingga Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebuah kerajan Islam di Nusantara yang mengamalkan undang-undang Islam di dalam pemerintahannya.

Bermula dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, negeri-negeri di Tanah Melayu tidak pernah menukar identitinya sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem perundangan dan pemerintahan Islam sekalipun ianya pernah dijajah selama hampir 500 tahun bermula dengan Portugis (1511), Belanda (1641), Inggeris (1824), Jepun (1941-1945) dan dijajah oleh Inggeris semula pada 1945 hinggalah negara ini merdeka dari British pada 31 Ogos 1957. Penjajah hanya berjaya menjajah negara ini secara fizikal dan juga ekonomi sahaja, sedangkan aqidah dan juga syariat Islam di negara ini tidak pernah diganggu-gugat dan berjaya dipertahankan oleh umat Islam.

Persoalan yang timbul disini adalah mengapa kecemerlangan dan kejayaan umat Melayu Islam dalam bidang perniagaan dan keusahawanan 500 tahun dahulu tidak dapat kita pertahankan di zaman ini. Adakah kita tidak pandai atau dhaif dalam ilmu-ilmu perniagaan, kurang jati diri, malas, tidak mampu bersaing, tiada kepakaran, bukan sifat orang Melayu berniaga dan deretan sebab yang boleh dikemukakan bagi mengjustifikasikan kegagalan orang Melayu dalam bidang perniagaan. Kajian demi kajian telah di buat untuk mengenal pasti kelayuan Melayu dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru negara. Salah satu faktor yang sering diungkit adalah mengenai “sikap” (trait) orang Melayu dalam mengharungi persada dunia perniagaan. Ungkapan yang sering disebut adalah sikap “Perangai Hasad Dengki” atau lebih popular dengan singkatan PHD.



Perkara pokok yang coba dibincang disini adalah tentang kaedah dan pendekatan yang diambil oleh orang Melayu Islam dalam mendekati dunia perniagaan dan keusahawanan. Apakah visi dan misi peniaga Melayu Islam? Apakah untung dan mencari kemenangan menjadi matlamat abadi? Apakah nilai-nilai yang diterapkan? Kemana tujuan perniagaan hendak dibawa? Adakah etika-etika dan pendekatan-pendekatan yang diambil itu selari dengan kehendak Islam bermula dari niat, falsafah, matlamat, hubungan dengan pihak pekerja, pengeluaran, pembiayaan, perancangan dan pengawalan, pengiklanan dan sebagainya. Firman Allah S.W.T dengan ayat al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecualli dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu” (Surah an-Nisa' ayat 29).

2. Falsafah Perniagaan Barat

Falsafah perniagaan dalam perspektif barat tiada sekali-kali dihubungkait dengan ketuhanan dan kepercayaan agama. Ianya tidak perlu ada dimensi dosa dan pahala. Ianya tidak mementingkan doa dan ibadah. Apa yang di fokuskan adalah hubungan antara penjual dan pembeli dan banyak masa diberikan untuk memuaskan kehendak pelanggan. Tiga aspek penting yang diberi penekanan dalam falsafah perniagaan barat adalah:

1) Tujuan

2) Strategi

3) Nilai dan etika kerja


Tujuan

Secara umumnya tujuan perniagaan dari perspektif barat ialah untuk mendapat keuntungan. Walaubagaimanapun matlamat perniagaan telah malalui perubahan paradigma bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan sahaja tetapi juga untuk memenuhi tanggungjawab sosial. Perubahan ini adalah kesan daripada pengalaman masyarakat barat yang telah merasai kepahitan dari kualiti yang rendah dan keselamatan yang tidak terjamin apabila keuntungan sahaja yang menjadi tujuan perniagaan. Malah mereka menganggap tanggungjawab sosial sebagai satu cara untuk meningkatkan imej sesuatu organisasi perniagaan dalam sebuah masyarakat. Dengan cara ini, dari sudut jangka panjang, syarikat tersebut akan dapat meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Ada berbagai-bagai tanggapan dikalangan ketua-ketua eksekutif atau pengurus-pemgurus syarikat dibarat mengenai tujuan atau falsafah perniagaan antaranya adalah:



1) untuk kebajikan pemegang-pemegang saham syarikat.

2) untuk kebajikan pengguna.

3) untuk kebajikan pemilik-pemilik syarikat (perkongsian)

4) untuk kepentingan pemegang saham, pekerja, pengguna dan pembekal

5) untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi pekerja syarikat



Strategi

Strategi tentang perniagaan dianggap sangat penting kerana ia akan menentukan logik serta kelangsungan sesuatu perniagaan itu diwujudkan. Pihak pengurusan harus mengenalpasti suasana atau keadaan pasaran tempat ia akan bersaing. Ia harus juga menentukan apakah ciri kekuatan yang membolehkannya berada dalam keadaan yang selesa dan dominan.

Nilai dan Etika Kerja

Ini menjelaskan bahawa perkara-perkara dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah syarikat dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya bukan sahaja baik dari sudut strategi untuk meningkatkan jualan tetapi ianya juga baik dalam ertikata yang sebenarnya. Hanya apabila seseorang pekerja itu mempunyai nilai peribadi yang selari dengan nilai organisasi atau syarikat yang dia bekerja, komitmen serta penglibatannya akan bertambah. Aspek yang perlu diberi penekanan antara lain adalah:

1) kerjasama dan perundingan sebagai satu pasukan

2) alam sekitar

3) hubungan pihak pengurusan dan pekerja, pengguna dan sebagainya

4) kualiti barangan yang tidak memberikan kesan negatif kepada kesihatan

Berdasarkan pandangan barat organisasi atau syarikat itu akan berjaya apabila perkara-perkara ini digabungkan iaitu apabila strategi, nilai dan etika digabungkan dengan satu tujuan yang unggul yang melewati batas kepuasan kumpulan-kumpulan tertentu.

3. Etika Perniagaan Islam

Menurut Rafik Issa Beekum (2004), perniagaan dalam Islam dan prinsip-prinsip pengurusan kewangan banyak bergantung kepada etika-etika yang boleh diterima oleh agama Islam. Selanjutnya, Rafik menjelaskan bahawa parameter etika perniagaan dalam Islam dapatlah disimpulkan kepada elemen-elemen berikut:

1) Sebarang tindakan dan keputusan adalah diasaskan dan dititikberatkan kepada elemen niat.

2) Niat yang baik diikiuti dengan tindakan yang baik dan ikhlas adalah dikira sebagai satu ibadah.

3) Islam membenarkan kebebasan untuk percaya dan bertindak tetapi tidak sekali-kali membelakangi akauntibiliti dan keadilan.

4) Percaya kepada Allah dan segala ketentuanNya.

5) Keputusan yang menguntungkan pihak majoriti atau minoriti tidak semestinya beretika kerana etika dalam pernigaan menurut Islam bukanlah permainan angka semata-mata.

6) Etika dalam Islam mengamalkan pendekatan terbuka bukan sistem tertutup yang mementingkan diri sendiri.

7) Sistem etika pernigaan dalam Islam di sandarkan kepada Al Qu’ran dan as-Sunnah.

8) Berbeza dengan sistem etika pada agama lain, etika dalam Islam menggalakkan seseorang untuk melalui pengalamn sendiri dalam hidup, takiyah.



Seterusnya Rafik berkata bahawa berbeza dengan etika-etika anutan agama lain yang nyata sifatnya berpecah-pecah (fragmented) dan satu-dimensi (unidimensional), etika Islam sangat kuat berpegang pada konsep bahawa etika itu sendiri perlulah menjadi sebahagian dari cara hidup orang Islam dan dengan itu ianya sudah tentu sempurna. Axiom dalam falsafah etika Islam dapatlah di simpulkan seperti dalam Jadual 1 berikut:



Jadual 1: Axiom dalam falsafah etika Islam



Axiom


Difinasi

Penyatuan

(Unity)


Berkait rapat dengan konsep tauhid. Aspek politik, ekonomi, sosial dan keagamaan dalam kehidupan seseorang adalah kesatuan yang bersifat homogeneous. Inilah dimensi vertikal dalam Islam

Keseimbangan

(Equilibrium)


Berkait rapat dengan konsep ‘adl. Ada keseimbangan yang baik dalam aspek-aspek diatas sehingga mencapai “social order” yang terbaik

Rela hati

(Free will)


Kebebasan dan kebolehan bertindak tanpa tekanan luaran (external coercion) namun tertakluk kepada peraturan-peraturan yang di tetapkan oleh Allah S.W.T

Tanggungjawab

(Responsibility)


Keperluan pertanggungjawapan kepada setiap perbuatan dan tindakan

Kebajikan

(Benevolence)


Ihsan atau tindakan yang membawa kepada kebajikan tanpa obligasi



4. Pola Pemikiran Global

Sejarah dunia mencatatkan pada masa lalu terdapat beberapa tamadun manusia yang hebat dan mencapai puncak kegemilangannya. Sejarah juga menyaksikan kebanyakan tamadun yang hebat ini akhirnya lenyap begitu sahaja, seperti ditinggalkan manusia, walaupun satu ketika ia makmur dengan aktiviti manusia berjual beli, berdagang dan pelbagai lagi pekerjaan. Lihat sahaja tamadun Inca, Machu Pichu, Babylon, Kerajaan Saba’, Lembah Bujang, semuanya satu ketika dahulu pernah mencapai puncak kegemilangannya. Senireka bangunannya adalah yang termaju ketika itu dan menjadi tumpuan manusia. Namun secara tiba-tiba, tanpa kita ketahui sebab musababnya, ia ditinggalkan. Tamadun Inca misalnya ditinggalkan begitu lama sehinggalah di temui semula di dalam belantara tebal.

Kerajaan Saba’ yang begitu bertamadun di mana penduduknya ketika itu telah mampu membina bangunan yang tinggi-tinggi, akhirnya lenyap. Begitu juga dengan Machu Pichu. Binaannya yang kita lihat pada hari ini masih utuh dan amat mengagumkan. Kemanakah pergi umatnya. Adakah mereka berpakat lari atau meninggalkan tempat itu atau adakah mereka lenyap sebagaimana lenyapnya Pompeii akibat letupan gunung berapi Vesuvius atau rakyat Sadum yang diterbalikkan negeri mereka oleh Allah S.W.T.

4.1 Pola Pemikiran Barat - Logika Aristotle

Aristotle (384 BC – 322 BC) adalah seorang filosof berbangsa Greek. Beliau merupakan anak didik Plato dan guru kepada Alexander the Great. Aristotle dikenali banyak menulis dalam bidang fizik, metafizik, sajak, muzik, teater, logik, retorik, politik, pemerintahan, etika, kaji hayat dan kaji haiwan. Bersama-sama dengan Pluto dan Socrates, Aristotle adalah pengasas kepada disiplin falsafah barat. Beliau bertanggung jawab untuk membangun sistem falsafah barat yang komprehensif meliputi bidang-bidang moral dan estetik, logik dan sains, politik dan metafizik. Pandangan Aristotle mengenai sain fisikal sangat-sangat mempengaruhi cara pemikiran masyrakat terdahulu hinggalah kepada kelompok Renaissance.

Pola pemikiran masyarakat barat bolehlah di terjemahkan dalam logika Aristotle. Mereka pentingkan asas logik dan berteraskan sains. Setiap perkara perlu ada penjelasan kepada solan kenapa. Kelompok pemikiran logika Aristotle adalah lebih spesifik dan tegas sama ada hitam atau putih, salah atau benar, untung atau rugi, baik atau buruk, lulus atau gagal dan sebaginya. Pola pemikiran yang tegas sebegini dibawa-bawa dan di terjemah dalam kegiatan hidup sehari-hari contohnya dalam bidang perniagaan, sosial dan perhubungan harian, pemerintahan, judisiari, pendidikan dan sebagainya.

4.2 Pola Pemikran Timur - Logika Kaizen

Kaizen adalah perkataan dalam bahasa Jepun dan ianya merupakan stau falsafah masyarakat Jepun yang memberi fokus kepada pembaikan berterusan dalam kehidupan. Jika diadaptasikan kepada bidang pernigaan ianya membawa mesej bahawa aktiviti Kaizen memerlukan pembaikan yang berterusan dalam setiap fungsi perniagaan bermula dari awal pembuatan hingga kepada pengurusan pengeluaran dan dari CEO kepada pekerja dikilang. Dengan meningkatkan mutu aktiviti dan proses yang biasa di jalankan Kaizen bertujuan untuk menghapuskan pembaziran. Konsep Kaizen mula di terapkan dalam beberapa usaha perniagaan Jepun misalnya syarikat Toyota terutama selepas perang Dunia ke Dua. Pola pemikiran Kaizen telah mula meresap kedalam hampir semua bentuk perniagaan di dunia.

Dalam pola pemikiran logika Kaizen yang lebih dewasa diberi penghormatan yang lebih dan yang muda wajib menghormati yang tua. Kearifan dan kebijaksanaan (wisdom) secara amnya terbentuk melalui pengalaman dan tingkat umur. Fakulti mendengar tidak dapat dimanfaat sepenuhnya jika pada masa yang sama sesuatu keputusan penting perlu di capai. Oleh yang demikian dalam banyak hal pendengar dan pembuat keputusan adalah individu yang berbeza. Orang yang lebih tua biasanya diberi keutamaan dalam membuat sesuatu keputusan dalam sesuatu perbincangan.



4.3 Pola Pemikiran Keliru- Logika Air

Pola pemikiran keliru berbentuk logika air adalah satu fenomena yang aneh kerana motif utama pemikiran sedemikian adalah untuk mencapai matlamat walaupun tidak beretika dan jika perlu tidak payah mengikut pantang larang dan adat resam serta senantiasa bertentangan dengan pegangan adat, budaya dan agama masing-masing. Kita sering mendengar para pedagang melakukan aktiviti tidak bermoral dan bertentangan dengan ajaran agama, budaya dan adat resam atas alasan “business drink”, “business entertainment”, “business relaxation”, “business gift”, “business way of getting things done” dan pelbagai alasan lain yang boleh menjamin pencapain matlamat. Atas asas dan alasan untuk mendapat dan merapat teman dagang segala sesuatu dibolehkan saja. Sifat sedemikian adalah mirip logik air yang dapat membentuk pelbagai rupa tergantung wadahnya. Bagi penganut logika air yang beragama Islam persoalan haram, halal, wajib, sunat dan makruh biasanya di pandang ringan dan persolan dosa pahala adalah tidak penting.



4.4 Pola Pemikiran Islam - Berteraskan Hukum Taklif

Hukum taklif adalah ketetapan Allah tentang perintah, larangan atau takhyir (pilihan). Hukum taklif itu sendiri terbahagi kepada lima perkara, iaitu: Wajib, Mandub, Haram, Makhruh dan Mubah.

1) Wajib

Wajib adalah suatu perintah yang harus dikerjakan dimana orang yang meninggalkannya berdosa. Pengertian wajib disini sama dengan pengertian fardhu, mahtum dan lazim. Wajib terbagi menjadi beberapa bahagian dan setiap bahagian dapat pula ditinjau dari segi tertentu, misalnya dari segi waktu, dari segi dzatiyah hukum yang diperintahkan, dari segi umum dan khususnya perintah dan dari segi kadar/ukuran perintah.

Dari sudut pelaksanaanya, wajib terbagi menjadi dua macam. Pertama wajib muthlaq (bebas) yang pelaksanaanya tidak dibatasi oleh waktu tertentu sehingga seandainya dilaksanakan sampai batas akhir masa kemampuan untuk melaksanannya tidaklah berdosa (contoh: qadha’ puasa). Kedua adalah wajib yang harus dilaksakan pada waktu-waktu tertentu (contoh: shalat).

Dari segi tuntutan, wajib boleh dibahagikan menjadi dua macam iaitu: wajib mu’ayyan dan wajib mukhayyar. Wajib mu’ayyan ialah suatu kewajiban yang hanya mempunyai satu tuntutan, seperti membayar hutang, memenuhi akad, zakat dan sebagainya. Wajib mukhayyar tidak mempunya satu macam tuntutan, tetapi mempunya dua atau tiga alternatif pilihan (contoh: imam boleh memilih membebaskan tawanan perang atau menerima tebusan mereka).

Ditinjau dari segi kadar/ukurannya, wajib terbagi menjadi dua macam iaitu: wajib yang mempunyai ukuran-ukuran tertentu, seperti dalam pembagian harta pusaka, dan wajib yang tidak mempunyai ukuran-ukuran yang konkrit, seperti kadar mengusap kepala (ketika berwudhu’), ukuran waktu ruku’ dan sujud dalam shalat, ukuran dalam memberikan nafkah/biaya hidup sebelum ada hukum yang konkrit yang menjelaskan ukuran tersebut yang ukurannya relatif bergantung kepada kemampuan setiap individu.

Dari segi pelaksanaannya, wajib terbagi menjadi dua macam iaitu: Pertama adalah Wajib ’aini (fardhu ’ain) ialah suatu kewajiban yang harus dikerjakan oleh setiap orang mukallaf, sehingga jika ditinggalkan, berdosalah ia dan berhak disiksa (contoh: shalat, zakat, memenuhi janji dan lain-lain). Kedua adalah Wajib kafa’i (fardhu kifayah) ialah suatu kewajiban yang hanya menuntut terwujudnya suatu pekerjaan dari sekelompok masyarakat (contoh: jihad, sembahyang mayat, membentuk kepemimpinan yang kuat dan lain-lain).

2) Mandub
Mandub ialah perbuatan yang dianjurkan oleh agama Islam untuk dikerjakan atau suatu perintah yang apabila dilaksanakan maka akan diberi pahala dan apabila ditinggalkan tidak disiksa/dicela. Juga dinamakan nafilah, sunat, tathawwu’, mustahab dan ihsan.

Mandub mempunyai beberapa tingkatan: Pertama adalah Sunat mu’akkadah iaitu suatu sunat yang dijalankan oleh Rasulullah S.A.W secara berterusan tetapi Baginda menjelaskan bahwa itu bukan fardhu yang harus dikerjakan (contoh: witir, shalat dua rakaat sebelum Subuh, setelah Zhuhur, setelah Maghrib dan setelah Isya’, membaca ayat al-Quran setelah Fatihah didalam shalat. Kedua adalah Sunat ghairu mu’akkadah, iaitu sunat yang tidak dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W secara terus menerus (contoh: shalat empat rakaat sebelum Zhuhur, sebelum Ashar, dan sebelum Isya, bersedekah tidak fardhu, kecuali kepada orang yang sangat memerlukan). Sunat yang tingkatannya dibawah dua tingkatan di atas ialah kebiasaan Rasulullah yang tidak ada hubungannya dengan tugas tabligh (penyampaian ajaran) dari Allah (contoh: cara berpakaian, makan dan minum, memelihara janggut serta menggunting (merapikan) misai.

3) Haram
Haram ialah larangan Allah yang pasti terhadap suatu perbuatan baik ditetapkan dengan dalil yang qath’i maupun dalil zhanni (contoh: makan bangkai, minum arak , berzina, membunuh seseorang yang diharamkan Allah tanpa hak, makan harta benda orang lain secara bathil). Dasar yang dijadikan landasan hukum haram adalah karena adanya bahaya yang nyata yang tidak diragukan lagi. Setiap perbuatan yang diharamkan syara’ pasti mengandung bahaya sedangkan perbuatan yang diperbolehkan syara’ pasti mengandung kemanfaatan yang banyak.

Atas dasar ini hukum haram terbahagi kepada dua macam iaitu: Pertama adalah Haram li-dzatih iaitu perbuatan yang diharamkan oleh Allah karena bahaya tersebut terdapat dalam perbuatan itu sendiri seperti makan bangkai, minum arak, berzina, mencuri yang bahayanya berhubungan langsung dengan lima hal yang harus dijaga, yakni badan, keturunan, harta benda, akal dan agama. Kedua adalah Haram li-ghairih/’aridhi iaitu perbuatan yang dilarang oleh syara’ dimana adanya larangan tersebut bukan terletak dari perbuatan itu sendiri tetapi perbuatan tersebut dapat menimbulkan haram li-dzatih. Contoh kepada Haram li-ghairih adalah seperti melihat aurat perempuan yang nantinya dapat menimbulkan zina sedangkan perbuatan zina diharamkan karena dzatiyahnya sendiri. Jual beli barang-barang secara riba adalah diharamkan karena menimbulkan riba yang diharamkan dzatiyahnya. Hutang dengan memberikan bunga diharamkan karena dapat menimbulkan riba yang dimakan oleh orang yang berhutang sedangkan makan riba diharamkan dzatiyahnya.



4) Makruh

Makruh adalah suatu larangan syara’ terhadap suatu perbuatan tetapi larangan tersebut tidak bersifat pasti disebabkan tidak ada dalil yang menunjukkan atas haramnya perbuatan itu. Pelaku makruh tidaklah tercela, sedangkan orang yang meninggalkannya adalah terpuji.



5) Mubah

Mubah adalah suatu hukum dimana Allah S.W.T memberikan kebebasan bagi orang mukallaf untuk memilih antara mengerjakan suatu perbuatan atau meninggalkannya. Pelakunya tidak tercela maupun terpuji seperti makan, minum, bergurau dan sebagainya



5. Pengamatan

5.1 Keagungan dan kecemerlangan ahli-ahli perniagaan Islam telah di buktikan oleh sejarah semenjak zaman Rasullullah S.A.W dan terbawa kezaman pemerintahan empayar Islam terakhir Uthmaniyah. Pedagang-pedagang Islam yang berjaya meletakkan urusniaga sebagai satu ibadah dan segala tindak tanduk dan keputusan serta aktiviti perdagangan diasaskan kepada kehendak dan ketetapan yang telah digariskan oleh Al-Quran dan as-Sunnah Rasullullah S.A.W. Mereka mengejar barakah dan menetapkan segala bentuk rezeki yang di kurniakan adalah untuk perjuangan kejalan keredaan Allah S.W.T. Disini terdapat elemen kesungguhan mencari harta di dunia sebagai satu pelaburan untuk mencapai kesenangan di hari Akhirat.

5.2 Di Malaysia sejarah juga telah mencatat keagungan dan kehebatan bangsa Melayu Islam dalam arena perniagaan terutama ketika Melaka diperintah oleh pemerintah yang menerapkan nilai-nilai Islam sekitar abad ke 15. Setelah kita di jajah oleh beberapa pihak sampai hampir 500 tahun dan dalam suasana yang penuh kompetitif pada masa kini, bangsa Melayu Islam mulai pudar dan layu dalam bidang perniagaan. Pelbagai cara dan pendekatan telah coba dilaksanakan oleh pihak Pemerintah misalnya dasar Ekonomi Baru tetapi kita masih jauh dari maju malah kita gagal untuk memenuhi matlamat 30% perkongsian harta modal Negara. Apa yang telah berlaku kepada umat Islam terutama setelah dijajah berkurun-kurun lamanya tidak langsung mencerminkan keunggulan Islam itu sendiri. Masyarakat Islam menjadi begitu letih dan lesu, seolah-olah tidak langsung mempunyai kemampuan untuk meningkatkan kembali imejnya yang sebenar.

5.3 Apakah punca dan penyebab kepada permasalahan sedemikian. Jika 500 tahun yang lalu kita dapat bersaing dan dapat maju kedepan dalam setiap bidang perniagaan kenapa pula pada masa kini kita jadi bangsa yang lemah dan banyak bergantung kepada segala bentuk bantuan dan subsidi Kerajaaan. Adakah kita telah lupa dan alpha kepada mengamalkan konsep dan matalamat perniagaan dalam Islam. Adakah bangsa Melayu Islam masa kini lebih mengutamakan pendekatan logika Aristotle atau logika Kaizen atau logika Air atau gabungan kesemua atau sebahagian dari logika-logika diatas.

5.4 Yang lebih parah adalah apabila prinsip dan etika perniagaan mengikut Islam yang menitikberatkan kepada hukum taklif iaitu ketetapan Allah tentang perintah, larangan atau takhyir (pilihan) mula diabaikan. Apabila perkara-perkara wajib, mandub, haram, makhruh dan mubah tidak lagi bermakna dan tidak diberi pertimbangan dalam setiap transaksi perniagaan maka sedikit demi sedikit kita mulai lari jauh, terhakis dan akhirnya mengabaikan langsung tuntutan cara berniaga yang diperintah oleh Allah S.W.T. Secara sedar atau tidak sedar usahawan Bumiputra Islam telah mula selesa dan rasi dengan resepi baru dengan mencampur-adukkkan logika-logika pemikiran manusia. Jika inilah yang berlaku dan pedagang-pedagang Melayu Islam mula menanamkan prinsip dan etika ciptaan manusia sebagai idola dan mentor dalam menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan maka amatlah sukar bagi peniaga–peniaga Melayu Islam di Malaysia untuk mendapat rahmat dan barakah dari Allah S.W.T.



Rujukan:

1. Mustakin, Haji (1999). Indeks Al Quran. Pustaka Jiwa Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

2. Philip Kotler and Kevin Lane Keller, (2006). Marketing Management 12th Edition. Pearson Education International, New Jersey.

3. Rafik Issa Beekun, (2004). Islamic Business Ethics. Goodword Books Pvt Ltd, New Delhi.

4. Saifulrahman M.A. (1997). Koleksi Hadis-Hadis Nabi: Jilid 1, 2, 3 dan 4. Perniagaan Jahabersa, Johor Bharu.

5. Sheikh Abdullah Basmeih (2001). Mushaf Malaysia Rasmi Uthmani.Tafsir Pimpinan Ar Rahman Kepada Pengertian Al-Quran. Percetakan Yayasan Islam Trengganu Sdn Bhd.

1 comment:

  1. Diskaun, Baucar dan Rebat Tunai Untuk Koperasi Anda di Rakan Kop 1KUBSB. Tawaran TERHAD!

    ReplyDelete